Tuesday, September 22, 2009

Bijak melihat peluang

Seseorang peniaga hendaklah bijak melihat dan memanipulasi peluang yang ada. Kebiasaannya wujud satu-satu peluang perniagaan kerana wujudnya permintaan terhadap sesuatu barangan dan perkhidmatan.

Pernahkah anda terfikir sekiranya ada tempat menjual itu dan ini bukankah lebih baik. Contohnya,pada waktu petang anda gemar makan cucur pisang bersama kopi. Namun di tempat tinggal anda tiada satu pun gerai menjual cucur pisang dan anda boleh membuat cucur pisang. Mungkin ini merupakan peluang yang terbaik.

Contohnya: anda seorang pelajar IPT dan menghadapi kesukaran membeli topup hp anda. kemungkinan anda boleh membuka bisnes menjual topup sebagai bisnes anda.

Lihatlah peluang di sekitar anda. Sekiranya anda pernah belajar atau bekerja di tempat lain contohnya luar negara atau bandar-bandar besar, lihatlah peluang-peluang yang pernah ada di sana yang boleh dikembangkan di tempat anda. Seperti nasi lemak malam di tempat saya, sebelum ini tiada pun.

Sekirnya anda berada di kawasan yang baru dibangunkan menjadi bandar perhatikan peluang yang ada di sana.Buatlah perniagaan kecil-kecilan. Kemungkinan perniagaan yang anda bina ini menjadi pendapatan sampingan yang lumayan.

Pernahkah kawasan anda mengadakan program atau acara besar-besaran mahupun pesta seperti sambutan hari kebangsaan, hari terbuka sekolah atau apa sahaja yang menyediakan peluang berniaga. Sekiranya pihak penganjur menawarkan ruang -ruang untuk berniaga cubalah memulakan perniagaan anda disana.

Anda masih kebuntuan idea untuk berniaga? Perhatikan gerai-gerai yang dibuka semasa pesta seumpama itu.Carilah gerai-gerai yang menjadi tumpuan. Kemungkinan bisnes-bisnes ini menjadi model kepada anda.

Thursday, September 17, 2009

Bermulalah dengan minat

Anda ingin memulakan bisnes kecil-kecilan sendiri. Banyak rakan anda mencadangkan peluang-peluang perniagaan yang baik buat anda namun anda sendiri kurang pasti sama ada cerita-cerita kejayaan yang disampaikan benar-benar wujud atau sebalinya. Lebih baik mencuba sendiri bisnes kecil-kecilan impian anda.Sekirnya anda bertanya kepada saya, pastinya saya akan menjawab apakah minat anda?

Apakah anda seseorang yang berminat menanam bunga anda boleh menjual bunga-bunga yang cantik kembang merkarnya kepada rakan-rakan atau membuat lanskap taman di rumah anda? Pastinya ada rakan anda berkenan dengan reka taman anda dan bertanya siapa pembuatnya. Inilah peluang bisnes anda.

Carilah minat dan hobi kegemaran anda. Sekiranya anda mempunyai hobi yang pelbagai carilah hobi yang boleh meyebabkan anda leka berjam-jam lamanya melakukannya. Kemungkinan hobi anda itu menghasilkan pulangan yang lumayan.

Sekiranya bisnes anda dibina dari hobi, pasti wujudnya "passion" dalam diri anda. Anda tidak akan mengeluh sekirnya melakukan pekara yang sama setiap hari kerana itu minat anda.Seolah-olah anda tidak pernah merasa jemu untuk melakukannya berulang-kali. Dengan sedikit pendapatan dari hobi anda ini pastinya ia terus menjadi pembakar semangat anda untuk berjaya.

Seandainya anda membuat benda yang sama setiap hari, pastinya setiap hasil anda itu akan menjadi lebih baik. Andainya anda menjual biskut, pastinya ada peningkatan mutu biskut anda mungkin menjadi lebih enak dan rangup.Sekiranya anda menjual kraftangan pasti lama kelamaan berkat kecekapan anda dan kreativiti anda akan meningkatkan jualan anda.

Kepuasan akan muncul dalam diri anda sekiranya hasil titik peluh anda dihargai dan lebih menyeronokkan apabila melihat pelanggan anda datang kembali keesokkan harinya untuk membeli lebih banyak lagi.

Sudah menjumpai minat anda dan ada peluang bisnes di depan anda. Apa tunggu lagi. Mulakan bisnes anda sekarang.

Modal oh modal

Pekara yang paling merungsingkan para peniaga ialah modal.Anda mempunyai suatu idea perniagaan yang hebat namun modal menjadi hambatan ke arah merelisasikan bisnes kecil-kecilan anda tersebut.

Terdapat beberapa kaedah kita mendapat modal untuk memulakan bisnes kecil-kecilan.

a) Simpanan sendiri.

• Anda mempunyai simpanan sendiri yang anda kumpul sekian lama untuk memulakan bisnes kecil-kecilan anda.Jangan gunakan wang simpanan kecemasan anda untuk memulakan perniagaan. Sekiranya perniagaan anda tidak berjaya sekurang –kurangnya anda tidak ditimpa masalah hutang.

b) Modal dari keluarga

• Anda boleh memohon bantuan dari ahli keluarga. Pastinya ahli keluarga anda boleh membantu sekiranya anda menjelaskan jenis bisnes yang anda ingin jalankan dan menyediakan plan pembayaran balik pinjaman kepada mereka.Untuk modal jenis ini, anda haruslah mengutamakan proses pembayaran balik semasa anda mengira keuntungan perniagaan anda. Ini bertujuan untuk menjaga hubungan kekeluargaan dan memudahkan anda meminta pertolongan sekiranya menghadapi masalah kelak.

c) Perkongsian bersama rakan.

• Modal juga boleh diperolehi dari perkongsian seperti ini. Namun harus ada perjanjian hitam putih kerana walaupun anda dan rakan anda telah bersahabat dari kecil ibarat isi dan kuku namun apabila isu melibatkan duit ia tidak semudah yang disangka. Jelaskan kepada rakan anda bukan sahaja berkaitan faedah yang diperolehi sekiranya bisnes menjadi namun jelaskan juga akibar sekiranya perniagaan mengalami kerugian. Sekurang-kurangnya rakan anda tidak menyalahkan anda pada suatu masa kelak.

d) Pinjaman dari instiusi kewangan

• Sekiranya ini merupakan perniagaan pertama anda dan modalnya kurang dari Rm 5000 sebaik-baiknya jangan meminjam dengan institusi kewangan. Ia hanya akan memberi beban kepada anda.Anda sendiri tidak mengetahui sama ada bisnes anda berjaya atau sebaliknya.Jangan libatkan diri anda didalam permasalahan hutang pada awal bisnes anda.

Sekarang anda sudah tahu di manakah anda ingin mendapatkan modal.Fikir dan pertimbangkan jenis-jenis modal yang boleh anda gunakan.SEmoga bisnes kecil-kecilan anda berjaya!!!

Tuesday, September 15, 2009

Bisnes Pertama Saya (bhgn III)

KEUNTUNGAN BERSIH PERTAMA

Setiap hari saya menyimpan catatan ringkas berkaitan dengan jualan saya.Agak sukar untuk saya pada mulanya untuk menentukan keuntungan kerana bahan-bahan yang dibeli adalah dalam kuntiti yang besar.Jadi saya mengabil keputusan untuk mengira keuntungan setelah habis kesemua bahan mentah saya.

Lebih kurang seminggu,habis.Hasilnya, pada minggu tersebut saya mendapat jualan sekitar Rm 110.Keuntungan bersih saya ketika itu ialah sekitar Rm 60.Suatu jumlah yang agak banyak untuk budak kecil seperti saya. saya terus bersemangat untuk berniaga.

Dipendekkan cerita, saya meneruskan perniagaan ini sehingga ke darjah 6. Selepas itu berhenti kerana saya memasuki sekolah menengah dan tinggal di asrama dan jarang pulang ke kampung.

Pengalaman manis ini menjadi bekalan kepada saya sepanjang masa dan menghidupkan semangat berniaga saya ketika perniagaan yang saya ceburi tidak menjadi.Bagaimana dengan pengalaman pertama anda pula? Adakah pahit atau manis. Walau apapun kenangan anda jadikan ia pedoman. Di dalam pahit pasti ada manisnya.

Sunday, September 13, 2009

Bisnes Pertama Saya (bhgn II)

Bermulalah perniagaan pertama saya pada hari tersebut. Saya hanya membuat 40 batang aiskrim sahaja dengan dua perasa iaitu sirap merah dan milo. Mengapa saya memilih untuk membuat perasa ini sahaja? Saya telah pun membuat kaji selidik semasa saya dan kawan-kawan saya selepas bermain bola tempoh hari. Dari 12 orang kawan-kawan saya itu, 6 daripadanya ingin membeli aiskrim milo.

Saya bersekolah di tempat ibu saya mengajar iaitu 4 kilometer dari sekolah ayah saya maka tidak ada cara saya memasarkan aiskrim saya di kawasan tempat tinggal saya.Saya meminta tolong kepada pembantu rumah saya (kak mek) untuk membantu saya.Ketika itu lokasi tidak mejadi masalah kerana kami sekeluarga tinggal di kawasan sekolah.Sasaran saya ialah murid-murid sekolah ayah saya.


Pada awal pagi itu saya ke sekolah dengan berdoa semoga ada pembeli untuk aiskrim saya itu kelak.

Alhamdullilah... apabila balik dari sekolah saya mendapati kesemua aiskrim yang saya jual habis kesemuanya.Berapakah pendapatan pertama saya?

40 batang aiskrim X RM0.10 = Rm 4.00

Ya. Rm 4.00.Apa yang mengembirkan saya ialah apabila pembantu rumah saya menyatakan aiskrim saya laku macam pisang panas dan sebelah petangnya masih ada murid datang untuk membelinya walaupun sudah dimaklumkan sudah habis. ada pula yang sanggup untuk membeli aiskrim yang belum mengeras asalkan sejuk. tetapi saya ingat pesan ibu saya," kalau hendak menjual aiskrim biar menjual aiskrim".

Saya melihat ini sebagai peluang baik dan saya meningkatkan "pengeluarannya" sehingga 80 batang.Ketika saya membungkus aiskrim ini saya mendapat idea baru... jual ke sekolah saya.

Tapi bagaimana? walaupun saya menggunakan basikal ke sekolah.Namun dengan jaraknya 4 kilometer dan jalan yang berbatu pastinya aiskrim saya mencair bila sampai ke sekolah kelak.

Saya mendapat idea.Membuat promosi dan mengambil tempahan awal.Saya memaklumkan kepada kawan-kawan di sekolah saya dan menceritakan keadaan aiskrim tu sekiranya mereka membeli dari saya.

Tempahan pertama saya ialah 10 batang.Dan jaminan saya,sekirnya ia menjadi cair saya tidak mengambil bayaran. Saya berbincang dengan ibu saya tentang pekara ini dan ibu saya memberi idea membungkusnya dengan helaian kertas surat khabar yang tebal. Terselamat saya dari masalah.

Keesokkannya saya pun membawa aiskrim tersebut ke sekolah dan kesemua rakan saya berpuas hati dan menjadi pelanggan tetap saya.

Saturday, September 12, 2009

Bisnes Pertama Saya (bhgn 1)

Bisnes pertama saya bermula pada sekitar tahun 1991 iaitu semasa saya berada di darjah 5.Ayah saya seorang guru dan tempat mengajarnya jauh dari bandar. Ketika itu ayah saya baru sahaja membeli peti sejuk kerana kampung tersebut baru sahaja menerima bekalan elektrik. Pada ketika itu, hanya rumah saya dan rumah seorang lagi penduduk kampung (lupa saya namanya) sahaja yang ada peti sejuk.

Pada satu petang,selepas bermain bola,biasanya saya akan minum air batu bersama-sama kawan-kawan saya. Salah seorangnya bertanya,"Ada jual ais krim kah?

Dengan pantasnya saya menjawab," Tidak ada".

Saya pun bertanya lagi,"Kalau saya jual kamu mahu membelinya?"

Mereka mengangguk. Satu peluang perniagaan telah muncul.

Pada malam tersebut saya tidak dapat tidur memikirkan "bisnes" yang bakal saya jalankan.Malam itu juga saya senyap-senyap mengorek duit tabungan saya dan setelah mengira saya hanya mempunyai RM10 dalam bentuk syiling.Setelah berfikir sejenak saya mendapat idea.Meminjam modal dari ibu saya.

Esoknya saya berbincang dengan ibu saya,dan beliau bersetuju untuk meminjamkan saya RM40 untuk memulakan perniagaan.Saya bernasib baik pada petang tersebut,ayah dan ibu saya pergi ke bandar untuk mengambil surat-surat penting di pejabat. Saya membeli barang-barang keperluan untuk memulakan perniagaan.

Pada lewat petang itu juga saya membuat aiskrim dan memberitahu kepada kawan-kawan saya perniagaan aiskrim saya akan dimulakan pada esok harinya dan meminta mereka membuat promosi dan saya akan memberi mereka ais krim percuma sekiranya ada jualan pada hari esok....

Langkah Pertama

Tahniah... anda telah menjumpai blog ini dengan hasil usaha anda.

Apakah anda seorang yang ingin mencari idea-idea perniagaan kecil-kecilan? Ya amat bagus sekali.Kembangkan idea anda,kembangkan potensi diri anda.Bermulalah dari bawah...secara kecil-kecilan.

Sekiranya anda berimpian untuk membuka kedai makan bermulalah dari menjual makanan di gerai-gerai. Sekiranya anda ingin membuka kedia makanan segera berjenama sendiri mulakan dari menjual buger. Bermula dari kecil namun anda harus ada impian yang besar. Impian dan perancangan hendaklah berjalan seiring.Harus ada wawasan diri.

Mulalah langkah anda hari ini. Bagaimana bermula? Carilah ilmu secukupnya sebelum memulakan sesuatu perniagaan itu. Belajar dari orang sekeliling, membaca buku dan blog tentang perniagaan, berdiskusi dan belajar memerhati.

Dalam blog ini saya bincangakan melalui perspektif saya langkah dan tip-tip bisnes kecil-kecilan bagi yang ingin mencari pengetahuan dalam bidang perniagaan.

Jom mulakan langkah pertama anda...